Tuesday, June 21, 2011

Kehilangan Sahabatku mse di UniSZA,Arwah Mohd Sabri bin Zakaria

Tak sempat hadir konvo 


TUMPAT – Seorang mahasiswa tidak sempat menerima sijil diploma pada hari konvokesyennya, Julai depan, apabila terbunuh dalam kemalangan ketika perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Hutan Jambu di sini, sejurus selepas membeli makanan kucing, petang kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang, di Kilometer 2, Wakaf Bharu-Tumpat di kampung Morak mangsa, Mohd Sabri Zakaria, 21, maut di tempat kejadian apabila motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah kereta menyebabkan mangsa memasuki jalan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah van. 

Kereta terbabit ketika itu berada di bahu jalan, naik ke jalan utama, bagaimana pun motosikal mangsa yang menghala ke Palekbang tidak sempat mengelak menyebabkan mangsa terlanggar kereta itu. 

Bapa mangsa, Zakaria Mohamad, 48, berkata, dia agak sukar menerima kematian anak sulungnya yang meninggal dunia akibat kemalangan kerana ketika menatap jenazahnya di tempat kejadian anaknya seperti sedang tidur. 

“Dia meninggal akibat kecederaan dalaman, tiada darah seperti kita lihat di tempat kemalangan lain, saya rasa anak saya itu sedang tidur padahal dia telah pergi untuk selama-lamanya,” katanya. 

Menurutnya, arwah baru tamat pengajiannya di Universiti Darul Iman dan perlu menghadiri konvokesyen pada Julai ini. 

“Namun kami sekeluarga tidak dapat meraikan hari konvokesyennya itu, kerana dia sudah tiada,” katanya yang berniaga makanan ayam dan burung di Kampung Laut. 

Menurutnya, arwah berhasrat untuk bekerja selepas menerima sijil diplomanya itu kerana ingin membantunya menyara keluarga dan adiknya seramai tiga orang. 

Menurutnya, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Pasir. 


        

1 comment: